10 Tips Berkesan Untuk Elak Jadi Hamba Hutang
# Gaya Hidup

10 Tips Berkesan Untuk Elak Jadi Hamba Hutang

post by Aisya

by Aisya

Feb 24, 2018
pada 8:59 AM

Jika korang tidak merancang, maka secara tak langsung korang telah merancang untuk gagal. Korang harus tahu betapa pentingnya pengurusan kewangan peribadi sekiranya ada kecemasan berlaku, korang boleh menggunakan wang tersebut. 

Kepentingan pengurusan kewangan

1. Persaraan

Ada simpanan atau pelan kewangan untuk bersara. Bergantung kepada keperluan masing-masing, tidak ada satu formula yang tepat mengenai berapa banyak wang yang diperlukan untuk persaraan. Tapi jika korang ingin kekalkan gaya hidup semasa, korang perlukan 60% pendapatan sekarang untuk sekurang-kurangnya 20 tahun. Kalau kita rendahkan gaya hidup, maka jumlah yang kita perlukan pun berkurangan.

Walaupun kita tidak berbelanja sebanyak kita bekerja, namun kos tambahan sewaktu bersara ialah perubatan. Memang korang ada KWSP, tapi korang nak bergantung pada KWSP sahaja ke?  

2. Hutang

Kalau boleh korang hadkan bayaran balik hutang kepada tidak lebih 36% pendapatan bulanan. Kalau lagi rendah, lagi bagus. Sekiranya pendapatan bersih isi rumah RM10K sebulan, bayaran balik kesemua hutang sebulan usah lebih RM3,600.

Formula ini akan membolehkan kita mempunyai tunai untuk perbelanjaan lain. Ramai orang menjalani kehidupan yang tertekan disebabkan terpaksa membayar hutang yang banyak setiap bulan.

3. Simpanan

Ada simpanan kecemasan sebanyak sekurang-kurangnya enam bulan gaji. Kalau ada lebih banyak, lagi bagus. Sekiranya pendapatan bulanan isi rumah korang RM10K, maka korang patut ada simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM60K. Simpanan ini digunakan apabila berhenti kerja, mengalami masalah kesihatan dan lain-lain.

Wang ni memang tak akan pernah cukup. Itu memang tak dinafikan. Tapi jika korang bijak menguruskan nya, tak jadi masalah pun. 

Tips berkesan dalam pengurusan kewangan

1. Mengikat perut

Ikat perut, usah berhutang terutama perkara yang tidak perlu. Elakkan berhutang untuk beli smartphone atau perabot. Ini kerana, apabila korang berhutang barangan sebegini, besar kemungkinan korang akan habiskan sebanyak 45% bayaran balik untuk bayar faedah je. Buat apa bekerja bagai nak mati untuk bayar faedah. Betul tak? 

2. Elakkan pinjaman peribadi

Usah buat pinjaman peribadi untuk kenduri kahwin. Apabila pinjam RM50,000 untuk kenduri kahwin, pasangan berkenaan melangkah ke alam rumahtangga dengan hutang. Apa guna jadi Raja Sehari kalau selepas itu kita jadi Hamba Hutang bertahun-tahun?

3. Elakkan kad kredit

Kad kredit ni 'berhantu'. Kalau korang sekarang takde pakai kad kredit, adalah lebih baik tak payah ada sebab takut korang tak dapat nak kawal nafsu berbelanja. Lebih baik gunakan kad debit. Ia sama seperti bayar tunai, tak berhutang. Ada duit beli, tak ada duit tak perlu beli. So takde lah korang terover bajet kan? 

4. Bayar semula setiap bulan

Kalau nak gunakan kad kredit, pastikan bayar balik penuh setiap bulan. Usah berhutang.Gunakan credit limit yang rendah, bergantung kepada keperluan dan kemampuan bayar. Ramai orang muflis kerana kad kredit. Kalau kita tak mampu bayar balik kesemua baki kad kredit setiap bulan, itu petanda kita sudah berbelanja di luar kemampuan.

5. Menyimpan

Usah naik taraf gaya hidup apabila ada pendapatan tambahan. Maksudnya usah tukar kereta baru apabila naik gaji atau dapat bonus. Gaji naik RM200, bayaran kereta baru pun tambah RM200. Usah buat begitu, gunakan lebihan pendapatan tu untuk simpanan korang. Kan lebih berfaedah tu.

6. Sumber pendapatan kedua

Selain pendapatan utama,adalah lebih baik sekiranya korang juga ada sumber kedua pendapatan. Ada orang bekerja tetap tetapi membuat bisnes online, latihan, menulis buku atau menyediakan khidmat perundingan.

Selain membantu aliran tunai, pekerjaan tambahan ini juga memberikan kita escape plan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada pekerjaan utama. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.

7. Elakkan skim cepat kaya

Berhati-hati dengan skim cepat kaya. Usah percaya kalau ada orang janjikan pulangan tetap yang besar dengan pelaburan yang kecil. Kalau mereka ada formula hebat untuk pelaburan, mereka tak cari pelabur individu yang tak banyak duit seperti kita. Ramai yang kayap dengan skim cepat kaya. Kalau ada duit lebih dan nak labur jangka panjang, manfaatkan skim saham amanah (unit trust).

8. Elakkan buat bisnes bermusim

Usah habiskan duit untuk buat bisnes bermusim. Orang buat bisnes ikan keli dalam kanvas, kita pun nak buat bisnes ikan keli dalam kanvas. Orang tanam serai wangi, kita pun nak tanam serai wangi. Ramai yang habis wang tabungan (dan rugi) kerana buat bisnes bermusim.

9. Jangan jadi penjamin

Kalau boleh elakkan dari menjadi penjamin pinjaman walaupun kepada adik-beradik dan kawan-kawan terdekat sekiranya mereka tidak mampu. Buat penilaian, sekiranya korang percaya mereka tidak ada kemampuan bayar balik atau tidak ada disiplin kewangan, usah jadi penjamin. Ramai hadapi masalah kewangan kerana jadi penjamin kepada orang lain. Hidup jadi kacau-bilau gara-gara jadi penjamin!

10. Dapatkan nasihat

Walau berapa pun gaji kita, pastikan korang ada buat simpanan setiap bulan. Mulakan dengan menyimpan 10% gaji bulanan dan tingkatkan jumlah tersebut dari semasa ke semasa. Ada banyak instrumen simpanan dan pelaburan yang ada. Korang pun boleh je dapatkan nasihat mereka yang ada ilmu dalam soal pengurusan kewangan peribadi.