Biar Betul? Ganjaran RM20,000, Menanti Pemberi Maklumat Berhubung Pencemaran Air Sungai Selangor
# Gaya Hidup

Biar Betul? Ganjaran RM20,000, Menanti Pemberi Maklumat Berhubung Pencemaran Air Sungai Selangor

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Oct 19, 2020
pada 11:53 AM

RM20,000. Itulah jumlah yang bakal diterima pemberi maklumat berhubung kejadian pencemaran air Sungai Selangor yang boleh membawa kepada penangkapan pihak berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Selangor, Hee Loy Sian pada hari ini seperti dilaporkan Astro Awani.

“Pada masa sama, kita akan mengalakkan orang ramai bertindak sebagai whistleblower (pemberi maklumat) iaitu kita akan beri ganjaran RM20,000 kepada mereka yang mendedahkan unsur-unsur mencemarkan sungai,” katanya.

Selain daripada menawarkan ganjaran wang tunai, pihaknya juga dilaporkan akan mengusulkan kepada Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengubah hukuman penjara dan denda daripada RM100,000 kepada RM200,000 hingga RM 1 juta dan penjara tiga tahun.

Selain daripada dua inisiatif yang akan diambil itu, pihak kerajaan negeri juga tambahnya akan memperkenalkan penggunaan dron bagi mengatasi masalah pencemaran air di Selangor.

Penggunaan dron berteknologi itu menurutnya akan membolehkan pihak mereka mereka memasuki kawasan terpencil dan dan pada masa sama memastikan sampel air dapat diambil dengan lebih berkesan.

Pengumuman itu hadir selepas berlakunya gangguan air di tujuh wilayah di Selangor beberapa hari kebelakangan ini. Gangguan itu dilaporkan berpunca daripada penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor yang melibatkan lebih 1 juta pengguna.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru seperti dilaporkan Selangorkini, pencemaran itu dijangka pulih petang ini sekiranya keadaan semakin baik dan bekalan air ke kawasan terjejas akan disalur secara berperingkat.