''Duit Terakhir Kami Hanyalah RM1600...''-Kisah Benar 'Founder' Ni 'Survive' Sebelum Bisnes Maju

Haziqah Muhamad
by Haziqah Muhamad
Jul 09, 2019 pada 10:31 AM

Bila bercakap soal bisnes, pastinya kita dapat mendengar pelbagai kisah di sebalik kejayaan bisnes seseorang individu itu. Ada yang suka, gembira dan tak kurang juga ada yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan serta cabaran sebelum betul-betul berjaya mengecapi kejayaan.

Begitulah juga apa yang dirasai oleh seorang founder wanita ini. Mungkin pada mata kasarnya, bisnes yang dikecapinya pada hari ini berjaya diperolehnya semudah A B C. Namun hakikatnya, tuan badan sendiri yang mengetahui betapa sukarnya perjalanan yang terpaksa dilalui sebelum berjaya memiliki bisnesnya itu. 

Pada segmen #MauSembang kali ini, team MauKerja sempat menemubual wanita hebat ini bagi tujuan untuk berkongsi pengalaman beliau sebelum membuka bisnes. Ikuti temubual selanjutnya...

 

 

Latar Belakang

''Bila kita jatuh, takkan ada orang nak bantu kita...'' Begitulah prinsip yang selalu dipegang dan diingati oleh individu yang bergelar Fatin Nabila, seorang founder kepada bisnes OvenBella. Merupakan seorang graduan IT, perjalanan beliau sebelum berjaya menubuhkan bisnesnya ini pastinya akan membuatkan orang di luar sana lebih terinspirasi terutama sekali bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dalam bidang bisnes. Sebelum memulakan bisnes, beliau juga pernah makan gaji dengan melakukan pekerjaan sebagai seorang Sales Girl, jadi PA bos dan juga seorang programmer. 

 

Bagaimana Detik Permulaan Bisnes...

Bayangkan bisnes Oven Bella saya sekarang ni bermula dengan bermodalkan RM40 saja. Dengan jumlah sebanyak tu, saya mula dengan membeli bahan utama iaitu ayam, kemudian bahan perapan seperti butter, rempah dan sebagainya. Disebabkan saya mahir memasak, jadi resepi ayam ni saya buat resepi saya sendiri. Dari situlah permulaan bisnes Oven Bella sehingga kini... Saya percaya dengan redha mak ayah dan keluarga, dan untuk permulaan, saya berjaya memperoleh sales pertama saya sebanyak RM12, 477. 

 

Follow IG: @bella_ovenbella

 

Bisnes Bukanlah Perkara Yang Senang Untuk Dikecapi, Buktinya...

Saya ingat lagi, sebelum memulakan bisnes ni, pelbagai dugaan yang saya terpaksa hadapi. Ketika mengandungkan anak kembar, saya mengalami sakit belakang. Jadi, saya perlu berulang-alik ke hospital setiap minggu dan ini sudah pasti memerlukan kos daripada segi kewangan. Pada ketika itulah kami menghadapi fasa kejatuhan dan di sinilah satu-persatu dugaan menimpa diri saya dan keluarga. Pada masa tu, saya dah hilang hampir kesemuanya. Duit terakhir kami hanyalah RM1600, dan dengan duit tulah saya gunakan untuk bayar bil hospital selepas bersalin. 

Macam mana saya nak buat bisnes kalau saya tak mempunyai duit yang cukup? Tapi itu tak mematahkan semangat saya. Masa tu saya cuma fikir satu perkara, saya perlu mulakan bisnes dengan apa-apa je yang saya ada. Dua minggu lepas bersalin, saya terus turun dapur untuk masak makanan yang nak dijual di bazar ramadhan. Terus terang saya katakan, saya tak pernah hidup susah begitu sebelum ni. Saya turun ke pasar-pasar, berniaga di bazar ramadhan tanpa ambil peduli tentang apa pandangan kawan-kawan terhadap kami. Kami buang ego, kami letak tepi perasaan malu dan kami teruskan berniaga di pasar-pasar demi untuk mencari rezeki buat menampung kehidupan. 

 

Perkara Yang Paling Takkan Boleh Lupa Dan Boleh Dijadikan Pengajaran Buat Semua...

Masa kita senang, ramai kawan yang datang dan ada bersama-sama dengan kita. Tapi bila kita jatuh, bila kita susah, kita nak pinjam duit daripada kawan yang berstatus jutawan pun tak dapat. Jadi ingatlah, kawan tatkala susah memang susah untuk kita jumpa dan ini memang realiti kerana saya sendiri pernah melaluinya pun. Walau setinggi mana saya berada, inilah perkara yang pastinya saya akan ingat sampai bila-bila...

 

Pesanan Buat Mereka Di Luar Sana, Terutama Suri Rumah...

Jangan jadikan alasan suri rumah sebagai penghalang untuk korang jana pendapatan di rumah. Semoga satu hari nanti saya dapat membantu memberi idea dan jalan bagi suri rumah di luar sana untuk jana pendapatan dan dalam masa yang sama dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu di rumah. 

 

Diharap kisah Puan Fatin Nabila ini dapat menjadikan inspirasi buat mereka di luar sana untuk berbisnes. Jika ingin berbisnes, semestinya kena ada ilmu. Begitu juga yang dilakukan oleh beliau, sebelum berbisnes, beliau pernah bekerja makan gaji kerana baginya pengalaman bekerja itu cukup mahal. Semoga kisah beliau dapat menjadi pemangkin semangat terutama bagi para suri rumah.

 


 

Tonton Video Interview #MauSembang Bersama Founder Oven Bella Di Sini