Kerap Gosok Gigi Tapi Nafas Masih Berbau? Ini Apa Yang Korang Perlu Tahu!

Haziqah Muhamad
by Haziqah Muhamad
Apr 23, 2019 pada 1:19 PM
Kategori: Gaya Hidup

Penjagaan gigi yang baik sangat penting bagi diri seseorang individu itu. Mulut yang bersih dan mempunyai pernafasan yang baik akan memberikan impression yang baik terhadap diri. Tapi, jangan terkejut kalau ada yang dah gosok gigi setiap hari, namun pernafasannya masih lagi berbau. Ada yang pernah mengalaminya? Eh, apa puncanya?

 

Dah gosok gigi, tapi nafas masih berbau. Hmm...

 

Apakah Punca Nafas Berbau?

Menurut pakar, faktor utama nafas seseorang itu berbau adalah disebabkan oleh sisa makanan yang tertinggal di celahan gigi. Sisa makanan yang tak dibersihkan sepenuhnya akan mula mereput dan inilah punca mengapa nafas kita berbau. 

Antara faktor lain adalah disebabkan oleh masalah gusi bengkak atau terluka dan ini menyebabkan bahagian tersebut dijangkiti kuman. Ini akan menjadikan mulut berbau!

Selain itu juga, penurunan kandungan air liur dalam mulut juga adalah antara punca kepada nafas berbau. Sebab itulah dinasihatkan jika ada yang mengalami keadaan ini, individu itu perlu menjalani pemeriksaan terlebih dulu sebelum boleh dikategorikan puncanya, adakah ia disebabkan oleh penjagaan oral yang salah ataupun penyakit yang ada dalam badan. 

Menurut pakar juga, mereka yang tak mengalami sebarang penyakit mulut seperti tonsil, sakit tekak, selsema, resdung, kencing manis dan sebagainya, nafas berbau adalah disebabkan oleh penjagaan oral (mulut) yang tak betul.

 

 

Nafas Berbau Adalah Punca Daripada Tonsil Stone. Apa Tu?

Tonsil Stone adalah merupakan kumpulan daripada sel lekosit / bakteria, sel mati, epitel dan sisa makanan yang terperangkap di celahan lekukan tonsil. 

Mereka yang mengalami tonsil stone ini kebiasaannya mengalami jangkitan pada tonsil. 

 

Bagaimana Cara Untuk Merawat Tonsil Stone?

Jika korang mengalami keadaan begini, antara cara untuk mengatasinya adalah dengan memastikan rutin menggosok gigi adalah betul. Tak semestinya perlu kerap menggosok gigi, korang juga boleh berkumur-kumur selepas makan ataupun mengunyah chewing gum tanpa gula. 

Tonsil stone ini boleh dihilangkan dengan penggunakan laser di hospital pakar. Tapi ia juga boleh dilakukan di rumah dengan menggunakan putik kapas atau kerap berkumur dengan air garam.