Cara Mudah Nak Selidik Latar Belakang Kewangan Syarikat Sebelum Terima Kerja, Elak Tak Dibayar Gaji!
# Pengetahuan Pekerja

Cara Mudah Nak Selidik Latar Belakang Kewangan Syarikat Sebelum Terima Kerja, Elak Tak Dibayar Gaji!

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Apr 23, 2020
pada 3:57 PM

Pentingnya menyemak latar belakang kewangan syarikat sebelum memohon kerja dan sebelum temuduga. Dalam mencari kerja, biasanya kita akan menilai 5 faktor dibawah:

 

1. Gaji yang ditawarkan


2. Lokasi tempat kerja.


3. Peluang untuk mengembangkan kerjaya.


4. Pengalaman kerja yang bakal diperolehi, adakah memberi nilai tambah kepada CV/resume?


5. Relevan dengan kelulusan akademik yang dimiliki.


6. Berkaitan dengan impian dan minat kita.

 

Satu lagi aspek penting yang ingin saya tekankan disini adalah latar belakang syarikat bakal majikan kita terutamanya syarikat yang kita mohon dalam kategori Perniagaan Kecil & Sederhana (PKS) atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai SME (Small, Medium Enterprise).

Perkara yang paling merisaukan adalah kemampuan syarikat pks untuk membayar gaji pekerja secara konsisten, tidak lebih dari tarikh bayaran  yang ditetapkan. Contohnya ialah majikan menetapkan gaji bulanan akan dibayar sebelum hari terakhir bulan tersebut.

Apabila kita memohon kemudahan pinjaman bank, kebanyakan bank akan meminta bayaran ansuran secara arahan tetap (autodebit), dan kita kena pastikan baki wang dalam akaun mencukupi pada tarikh autodebit tersebut. Bayangkan jika majikan tidak dapat membayar gaji secara konsisten sebelum hari terakhir bulan,  pada 1 hb setiap bulan kita ada bayaran ansuran autodebit, ini akan menjejaskan rekod baik kita dengan bank.

Justeru, kita kena tahu latar belakang kewangan syarikat yang kita mohon kerja, dan biasanya maklumat kewangan tidak akan dipaparkan dalam laman web syarikat. Di mana kita boleh dapat maklumat kewangan syarikat?

Sebelum menjawab soalan ni, tahukah kamu bahawa setiap syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) wajib menghantar laporan kewangan beraudit setiap tahun? Dan sesiapa pun boleh dapat akses untuk melihat laporan audit ini hanya dengan RM15 sahaja.

Ada dua portal yang kita boleh daftar untuk membeli profile syarikat.


• SSM E- Info
https://www.ssm-einfo.my


• SSM mydata
https://www.mydata-ssm.com.

 

Dalam profile syarikat itu, ada ringkasan makluman kewangan Penyata Untung Rugi dan Kunci Kira-Kira. Dalam Kunci Kira-Kira, ada maklumat jumlah tunai syarikat di bank dan di tangan. Jumlah tunai ini adalah penanda aras bagi syarikat untuk untuk terus menjalankan aktiviti perniagaan untuk tempoh setahun yang berikutnya.

Selain itu, kita juga boleh melihat jumlah liabiliti semasa syarikat. Apakah maksud tersirat jika jumlah liabiliti semasa lebih besar dari aset semasa? Maksudnya ialah syarikat berkemungkinan besar akan menghadapi masalah kewangan untuk membiayai perbelanjaan operasi syarikat.

Apabila kita mengetahui situasi ini, dan kita tetap ingin bekerja di syarikat itu, kita boleh cuba mendapatkan maklumat seberapa banyak yang mungkin tentang perancangan syarikat untuk meningkatkan aliran tunai dan menstabilkan kewangan syarikat semasa sesi temuduga.

Di dalam profile syarikat yang berharga RM15 itu, kita juga boleh memperolehi maklumat pemegang saham syarikat dan senarai ahli lembaga pengarah. Pemegang saham adalam pemilik syarikat yang sebenar. Ada dari kalangan pemegang saham yang dilantik sebagai ahli lembaga  pengarah dan turut bekerja dalam syarikat. Banyak syarikat pks tidak mendedahkan maklumat ini kerana menganggap maklumat ini adalah sulit. 

Apa maksud jika profil syarikat terbaru dalam ssm e-info dan ssm mydata  terkini? Sekarang kita di tahun 2018, sepatutnya laporan audit yang dikemaskini dalam ssm e-info dan ssm mydata ialah laporan kewangan beraudit bagi tahun 2017. Tetapi masa kita beli profile tersebut menunjukan laporan terkini yang ada ialah tahun 2015.

Dari maklumat ini, kita boleh mengandaikan bahawa  syarikat mempunyai masalah dengan audit kerana gagal  laporan kewangan beraudit setiap tahun. Kita juga boleh mengandaikan bahawa syarikat mempunyai masalah tadbir urus, sehingga juruaudit enggan mengesahkan akaun syarikat. Juruadit mungkin mempunyai alasan yang kuat untuk tidak  mengeluarkan laporan audit untuk syarikat tersebut.

Akhir kata, perkongsian ini merupakan langkah-langkah yang kita boleh lakukan untuk mengurangkan risiko tidak dibayar gaji atau dibayar gaji lambat dari tarikh yang sepatutnya. Sekurang-kurangnya kita dapat betulkan mindset kita sebelum mula bekerja di tempat majikan baru.
 

 

Artikel ditulis oleh: Saudara Mahasan Muhamad