"ECRL Adalah Projek Yang Tidak Berdaya Maju. Bukan Pelaburan, Ia Pinjaman Dari China." - Prof Jomo
# Trending Semasa

"ECRL Adalah Projek Yang Tidak Berdaya Maju. Bukan Pelaburan, Ia Pinjaman Dari China." - Prof Jomo

post by Nazatul

by Nazatul

May 24, 2018
pada 7:14 AM

 Bukan anti pelaburan dari China, sebaliknya hanya mempertikai dan mengkaji beberapa projek mega tertentu dari negara itu yang tidak berdaya maju untuk ekonomi negara.

Menurut ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Jomo Kwame Sundaram, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak melibatkan pelaburan asing dari China tetapi merupakan pinjaman besar dari bank eksport-import China sebanyak 85 peratus dari kos projek dan berdasarkan kepada terma khas.

ECRL Adalah Projek Yang Tidak Berdaya Maju Untuk Ekonomi

Projek bernilai sekitar RM65 bilion itu juga dianugerahkan kepada syarikat China tanpa proses telus dan berdaya saing, selain penawaran pengecualian cukai berkait projek tersebut.

"ECRL adalah projek yang tidak berdaya maju untuk ekonomi. Projek sebegini kebiasaannya melibatkan lebihan kos yang tidak dijangka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau itu bagi menjawab laporan Financial Times bertajuk "China's south-east Asia push threatened by new Malaysia regime" yang menggambarkan kerajaan baharu akan bersifat anti pelaburan dari China.

"Sejak Merdeka, kerajaan Malaysia mengalu-alukan Pelaburan Langsung Asing (FDI)," kata Jomo.

Beliau berkata disebalik khidmat nasihat yang diberikan, pelaksanaan projek ECRL dipercepatkan kepada tahun ini dan dijangka siap dalam masa tujuh tahun.

"Ia berbeza dari cadangan penyiapan 18 tahun. Kurang empat bulan dari pengumuman, suku dari pinjaman sudah diserahkan," katanya, sambil menambah wujud tentangan hebat terhadap projek itu berkait tanggungan hutang besar.

"Kerajaan baharu mengiktiraf FDI dan perpindahan teknologi dari luar adalah penting untuk perkembangan masa depan," ujarnya.

SUMBER: Astro Awani