9 Sebab Tabung Haji Adalah Spot ' The Best' Simpan Duit Berbanding Pelaburan Lain
# Gaya Hidup

9 Sebab Tabung Haji Adalah Spot ' The Best' Simpan Duit Berbanding Pelaburan Lain

post by Aisya

by Aisya

Mar 28, 2018
pada 2:33 AM

Dalam artikel sebelum ni, kitorang ada bagitahu empat tempat menabung paling baik dan antaranya ialah di Tabung Haji. Walaupun ada yang beranggapan Tabung Haji bukanlah instrumen simpanan, sebaliknya instrumen pelaburan, namun tak dinafikan ada juga yang lebih suka untuk menganggap ianya sebagai instrumen simpanan.

Maknanya, kalau nak simpan duit seperti untuk dana kecemasan,dana rizab atau simpanan perbelanjaan (duit yang disimpan untuk dibelanjakan seperti membeli barang atau pergi melancong), boleh juga disimpan dalam Tabung Haji.

Antara kelebihan Tabung Haji sebagai instrumen simpanan terbaik dan tempat simpan duit utama adalah:

1. Modal awal yang rendah

Korang tahu tak, modal nak buka akaun Tabung Haji murah je, tak perlu sampai beratus mahupun beribu dan ianya hanya dibuka untuk warganegara Malaysia beragama Islam. Korang juga boleh buka di mana-mana bank Islam atau pun Bank Rakyat.

"Untuk buka akaun Tabung Haji, awak hanya memerlukan modal serendah RM 2 sahaja. Bukan RM 200 mahupun RM 2,000." - Pihak Tabung Haji
ketika di interview oleh MauKerja. 
 

2.Modal simpanan dijamin

Dalam Akta Tabung Haji, dinyatakan dengan jelas bahawa konsep simpanan dalam akaun Tabung Haji adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah (simpanan berasaskan jaminan).

Dalam konsep ini, pendeposit atau penyimpan memberi wang kepada Tabung Haji untuk disimpan manakala Tabung Haji sebagai penjaga (custodian) bersetuju untuk menjaga wang tersebut. Pada masa yang sama, pendeposit memberi keizinan kepada Tabung Haji untuk menggunakan atau meminjam wang mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya.

Hasil daripada kebenaran ini, kerajaan melalui Tabung Haji menjamin setiap ringgit wang yang diletakkan oleh pendeposit dalam akaun Tabung Haji.

3.Kos yang rendah

Membuka akaun simpanan Tabung Haji adalah percuma, malah tiada yuran pengurusan tahunan pun yang dikenakan ke atas pendeposit.

Jika ada kos yang terlibat pun, hanya apabila menggunakan perkhidmatan agen-agen Tabung Haji, seperti mendepositkan wang melalui perbankan internet seperti Maybank2u atau mesin deposit wang seperti Bank Islam dan Bank Rakyat.

4.Pemberian dividen & bonus kompetitif

Melalui kontrak Wadi’ah Yad Dhamanah yang dinyatakan sebelum ini, Tabung Haji diberi kebenaran oleh pendeposit untuk menggunakan atau meminjam wang pendeposit bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya. Dan itulah yang telah dilakukan oleh pihak Tabung Haji bagi memastikan dananya sentiasa berkembang dan kukuh bagi kemudahan umat Islam menunaikan haji.

Segala keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti perniagaan dan pelaburan yang dibuat adalah menjadi hak milik mutlak Tabung Haji dan pengagihan keuntungan tersebut adalah atas budi bicara Tabung Haji sendiri.

Namun begitu, pihak Tabung Haji setiap tahun sentiasa berkongsi keuntungan yang diperoleh dengan para pendeposit melalui pengagihan Hibbah (hadiah) dalam bentuk dividen dan bonus.

Dengan adanya agihan dividen dan bonus ini yang melebihi kadar inflasi, maka boleh dikatakan simpanan dalam Tabung Haji adalah kalis inflasi. Ini adalah ciri yang baik untuk dijadikan tabung simpan duit.

5.Dividen & bonus dikecualikan cukai

"Sebarang pengagihan dividen dan bonus yang diberikan Tabung Haji kepada para pendepositnya adalah dikecualikan cukai oleh kerajaan." - Pihak Tabung Haji
ketika di interview oleh MauKerja.  

Maka, pendapatan yang diperoleh tersebut dikategorikan sebagai pendapatan dikecualikan cukai, dan tidak perlu diisytiharkan dalam borang taksiran cukai pendapatan.

6.Zakat dibayar pihak Tabung Haji

Apabila seseorang Muslim mempunyai jumlah simpanan yang cukup nisab (jumlah) dan haul (tempoh), maka diwajibkan ke atasnya untuk mengeluarkan zakat simpanan sebanyak 2.5% daripada jumlah simpanan tersebut.

"Contohnya, jika jumlah simpanan dalam akaun bank mencapai RM 15,000 dan telah mencapai tempoh 1 tahun, maka zakat simpanan sebanyak RM 375 (2.5% x RM 15,000) perlu dikeluarkan sebagai penyucian harta." - Pihak Tabung Haji ketika di interview oleh MauKerja.  

Tetapi, jika disimpan dalam akaun simpanan Tabung Haji, pendeposit tidak perlu mengeluarkan zakat simpanan kerana telah dikeluarkan oleh pihak Tabung Haji.

7.Simpanan dan pengeluaran tanpa had

Tabung Haji membenarkan pendepositnya mendepositkan seberapa banyak duit yang ingin disimpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing. Tiada had simpanan.

Begitu juga dengan pengeluaran, tiada had dari segi jumlah pengeluaran dan juga kekerapan. Itulah ciri-ciri tempat simpan duit yang baik; mudah untuk dibuat simpanan, mudah juga untuk dicairkan jika memerlukan.

8.Patuh syariah

Tabung Haji memastikan setiap pelaburan dan perniagaan yang dibuat adalah patuh syariah.

"Perkara ini dikawal oleh Panel Pelaburan dan juga Jawatankuasa Penasihat Syariah yang ditubuhkan Tabung Haji." - Pihak Tabung Haji
ketika di interview oleh MauKerja.  

Maka, pendeposit tidak perlu bimbang berkenaan kesucian dan status patuh syariah Tabung Haji.

9.Simpanan untuk menunaikan Haji

Tujuan utama Tabung Haji ditubuhkan adalah untuk mengendalikan dan memudahkan urusan haji pendepositnya.

Maka, bagi mereka yang menyimpan dengan Tabung Haji, selain memperoleh khidmat tempat simpan duit yang baik dan agihan pendapatan setiap tahun, mereka diberi khidmat untuk menunaikan ibadah haji.

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan menyimpan duit sehingga RM 1,300 dalam akaun Tabung Haji dan membuat pendaftaran haji. Kemudian, tambahlah simpanan dari semasa ke semasa sehingga cukup kos haji dan tiba giliran menunaikan haji.