Pekerja Boleh Dibantu Oleh Majikan Untuk Selesaikan Hutang PTPTN, Ini Kelebihannya!
# Gaya Hidup

Pekerja Boleh Dibantu Oleh Majikan Untuk Selesaikan Hutang PTPTN, Ini Kelebihannya!

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Dec 5, 2018
pada 7:57 AM

Seperti yang sudahpun diwar-warkan sebentar tadi dalam sidang media Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), beberapa perkara yang menjadi tanda tanya buat peminjam telahpun dijelaskan. Mekanisme baru pembayaran potongan gaji secara progresif ini adalah bertujuan untuk mempermudahkan urusan peminjam dan memastikan kelestarian PTPTN jangka panjang.

 

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratus potongan kepada majikan. Seterusnya, menjadi tanggungjawab majikan untuk membuat potongan gaji pekerja bagi bayaran balik pinjaman kakitangan mereka kepada PTPTN.

 

Bagaimana jika peminjam tidak mempunyai majikan?

Bagi peminjam yang tidak termasuk di dalam penggajian dengan mana-mana majikan dikehendaki membuat pengesahan maklumat pendapatan mereka melalui portal PTPTN bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan ansuran bayaran balik berdasarkan kepada peratusan pendapatan juga.

 

Majikan Boleh Bantu Pekerja Langsaikan Hutang PTPTN? Betul Ke?

Dalam sidang media tersebut, turut dijelaskan mengenai insentif pelepasan cukai untuk majikan yang membantu pekerja. Maksud daripada keterangan ini, mana-mana majikan yang membantu membayar pinjaman PTPTN untuk pekerja sepenuh masa mereka akan diberikan pelepasan cukai bagi jumlah yang mereka bayar. Majikan layak menikmati potongan cukai ke atas apa-apa jumlah bayaran balik, baik yang dibayar secara ansuran setiap bulan atau melalui pembayaran sekaligus. 

Syaratnya ialah majikan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat atau tuntutan kepada pekerja setelah pembayaran ini dibuat. Selain itu juga, majikan boleh menjadikan penyelesaian hutang PTPTN sebagai insentif kepada pekerja cemerlang, atau insentif dalam merekrut pekerja baru. Insentif ini boleh menjadi motivasi kepada pekerja, dan pada waktu yang sama menaikkan reputasi majikan itu sendiri.

 

Bayaran Balik Pinjaman Bagi Peminjam Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Dikecualikan

Berita baik untuk peminjam PTPTN yang cemerlang dalam pengajian! Pelajar daripada golongan isirumah B40 dan M40 yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama dan menamatkan pengajian dalam tahun 2019 layak mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman dengan syarat-syarat berikut:

i. Mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda secara Sepenuh Masa;

ii. Memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama;

iii. Menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan; dan

iii. Dikategorikan daripada keluarga B40 dan M40 ketika menamatkan pengajian;

 

Sekiranya ada yang kurang jelas dan ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang isu ini bolehlah terus melayari www.ptptn.gov.my atau hubungi talian Careline PTPTN di 03 – 2193 3000.