Ramai Tak Sedar Yang Kita Semua Ada 5 Penyakit Ni Akibat Kerap Gunakan Media Sosial
# Gaya Hidup # Trending Semasa

Ramai Tak Sedar Yang Kita Semua Ada 5 Penyakit Ni Akibat Kerap Gunakan Media Sosial

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Nov 18, 2017
pada 2:01 AM

Media sosial dah menjadi satu kemestian bagi kebanyakan individu dalam kehidupan seharian. Kalau sesiapa tak 'layan' sosial media ni, mereka dianggap seperti orang yang ketinggalan zaman. Bukan setakat famous dalam kalangan remaja, mak-mak dan ayah-ayah kita pun turut tak terlepas dengan media sosial ni. Kalau kita tengok kat media sosial, golongan yang lebih berumur ni yang paling ramai berikan komen di sesuatu post dengan berunsurkan nasihat. Betul tak?

Kerap menggunakan media sosial menyebabkan seseorang tu menjadi ketagih. Ketagihan media sosial ini sebenarnya banyak mewujudkan penyakit-penyakit mental yang sebelum ini belum pernah wujud. Apa yang menakutkan, ramai di antara kita tidak menyedari kita mempunyai penyakit ini.

 

Jom kita tengok 5 penyakit yang wujud akibat menggunakan media sosial yang ramai tak sedar:

 

1. Phantom Buzzing Syndrome

Menurut Dr.Larry Rosen dalam bukunya iDisorder, majoriti seramai 70% pengguna media sosial akan mengalami masalah ini. Kita sudah terlalu kerap merasakan getaran atau vibrasi telefon kita dalam poket dan terus memeriksa telefon, membuatkan otak kita akan diprogram untuk bertindak balas terhadap getaran itu dengan langkah yang jadi rutin kita.

Bagi mereka yang mengalami masalah ini, ada ketikanya tidak ada telefon dalam poket pun, kita akan secara automatik menganggap ada notifikasi masuk, kerana badan kita merasakan ada getaran-getaran berlaku pada bahagian di mana telefon selalu disimpan. Tindakan refleks ini berlaku kerana otak kita sudah dibiasakan dengan vibrasi dari telefon sehingga kita tidak dapat lagi membezakan gatal pada kulit dengan getaran vibrasi telefon. Korang ada yang macam ni tak? Mesti ada kan...

 

2. Cyberchondria

Cyberchondria berlaku apabila kita membaca tentang sesuatu penyakit dalam media sosial, kemudian kita melakukan penilaian berdasarkan apa yang kita baca dan akhirnya kita merasakan diri kita mempunyai penyakit tersebut.​

Sebagai contoh, korang baca satu artikel tentang '5 tanda anda mempunyai kanser otak' dan ada dua tanda yang dikongsikan berkait dengan diri korang sendiri. Korang kerap pening dan merasa pitam. Kebimbangan itu ditukarkan menjadi ketakutan di mana korang takut korang betul-betul sakit sehingga mampu membuatkan korang percaya perkara buruk akan terjadi. Kira macam korang boleh terpengaruh bulat-bulatlah dengan sosial media tanpa rujuk pada doktor.

 

3. The Google Effect

Simptom The Google Effect pula menular kerana semakin ramai manusia merasakan yang kita sudah tidak perlu mengingati sesuatu, kerana adanya Google. Otak kita kini mulai menyimpan kurang maklumat berbanding dahulu walaupun maklumat semakin mudah diperolehi.

Kesannya mungkin tidak dirasai sangat ketika ini. Bagaimanapun proses pembelajaran satu masa nanti pasti berubah, apabila pelajar mula tidak mengingati apa yang mereka pelajari kerana kita sudah terbiasa dengan sistem maklumat di hujung jari. Huish, seramnya!

 

4. Facebook Depression

Dalam satu kajian yang dilakukan University of Michigan, perasaan murung didapati meningkat sejajar dengan jumlah masa yang digunakan oleh orang muda di Amerika Syarikat. Ini berlaku kerana orang ramai hanya akan memuat naik perkara baik tentang mereka dalam Facebook - percutian, parti, buat apa dan sebagainya.

Melihat gambaran tersebut mampu membuatkan kita beranggapan orang lain mempunyai kehidupan yang lebih berkualiti berbanding kita, sedangkan perkara itu tidak benar. Menurut kajian tersebut, andai seseorang terlalu memfokuskan dirinya terhadap apa yang dipaparkan di dalam Facebook, memang mudah untuk dia jadi murung. Nasihat penyelidik, jangan percaya apa yang korang lihat dalam Facebook.

 

5. Fear of Missing Out

Fear of Missing Out (FoMO) atau takut ketinggalan adalah gejala yang semakin kerap melanda pengguna media sosial. FOMO boleh berlaku dalam beberapa cara. Contohnya apabila kita selalu kerap disisihkan daripada acara sedangkan gambar perkongsian rakan telah dimuat naik, yang membuatkan kita tertanya mengapa kita tak dijemput.​

FOMO juga berlaku dalam bentuk perbincangan, di mana kita tidak tahu sesuatu isu viral yang menjadi perbualan ramai sedangkan orang lain ketawa berdekah-dekah tentang isu viral yang nampak seperti anda sahaja tak tahu.

Ekoran daripada kegusaran kita tidak mahu 'ketinggalan' itu, kita akan lebih banyak menghabiskan masa kita untuk memastikan diri kita tidak terlepas dari undangan atau isu semasa yang hangat, menjadikan kita sentiasa risau terlepas sesuatu yang dikongsikan.