Video Viral Amukan Pemandu Teksi Rebut Kad Bantuan, Ini Sebab Kenapa Ramai Berebut
# Trending Semasa

Video Viral Amukan Pemandu Teksi Rebut Kad Bantuan, Ini Sebab Kenapa Ramai Berebut

post by Aisya

by Aisya

Apr 16, 2018
pada 2:23 AM

Baru-baru ni tersebar video dimana pemandu teksi berebut untuk dapatkan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia  sehingga ada yang cedera! Menurut Awani, seramai 30 pemandu teksi mengalami kecederaan ringan dalam insiden yang berlaku di Hall C,Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) pada Jumaat lepas.

"Insiden yang tidak diingin ini berlaku akibat segelintir para hadirin tidak mematuhi langkah-langkah pengurusan kawalan sistematik yang disediakan apabila mereka masuk ke dewan pengambilan kad." - SPAD. Dipetik dari Awani.

Menurut Berita Harian, pemandu yang cedera tersebut menerima rawatan serta-merta, manakala seorang daripadanya dibawa ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya dan kos perubatan ditanggung SPAD sepenuhnya.

Apa itu Kad Bantuan Teksi 1Malaysia?

Kad Bantuan Teksi 1Malaysia adalah satu usaha Kerajaan Pusat untuk menghargai peranan pemandu teksi sebagai penyedia perkhidmatan di dalam sistem pengangkutan awam darat. Ia disalurkan oleh SPAD bersama dengan Kad Mesra PETRONAS. 

Apa yang menariknya, Kad Bantuan Teksi 1Malaysia ini mengandungi nilai RM800 untuk pembelian petrol atau gas asli (NGV) di stesen minyak Petronas dan ia juga turut memberi perlindungan Insurans Kemalangan Peribadi sehingga RM50,000. 

Skim ini akan disalurkan kepada 67,000 pemandu teksi di seluruh negara yang memiliki kad pemandu SPAD yang masih sah dan aktif.

Semua pemandu teksi di seluruh negara yang layak memohon BR1M akan menerima kelulusan secara automatik untuk Kad Bantuan Teksi 1Malaysia ini. Ini adalah kerana terdapat  keluhan dan rintihan kumpulan pemandu teksi bahawa ada dalam kalangan mereka gagal menerima BR1M kerana berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai pemilik syarikat.

SPAD mengesyorkan pemandu teksi yang belum menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia untuk mengambilnya di pejabat SPAD di seluruh negara kecuali di ibu pejabat Kuala Lumpur.

Pemandu teksi boleh mengunjungi pejabat SPAD di Kelana Jaya, Pulau Pinang, Kuala Terengganu dan Johor Bahru bermula 16 April hingga 16 Julai tahun ini.

Bagi cawangan SPAD di Melaka, UTC Ipoh, UTC Alor Setar, UTC Kota Bahru dan UTC Kuantan, kad itu boleh diperoleh bermula dari 17 April hingga 16 Julai 2018.

Pemandu teksi di Sabah dan Sarawak pula boleh mendapatkan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, tarikh pengambilan akan dimaklumkan kemudian oleh pejabat LPKP Sabah dan Sarawak.

Untuk maklumat lanjut mengenai proses pengambilan kad itu, pemandu teksi boleh melayari www.spad.gov.my/ms/pengusaha-kenderaan/teksi/kad-bantuan-teksi-1malaysia .