Salt Bae Disaman RM20 Juta, Guna Karya Seni Pelukis Tanpa Izin
# Trending Semasa

Salt Bae Disaman RM20 Juta, Guna Karya Seni Pelukis Tanpa Izin

post by Budak Bijok

by Budak Bijok

May 7, 2021
pada 12:27 PM

Sebut sahaja nama Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce pasti rata-rata anda sudah mengenali beliau yang pernah tular di media sosial dengan gaya taburan garam ke atas daging panggang. Namun, disebalik gaya yang popular itu, terdapat juga ‘sisi gelap’ yang dikaitkan dengan Salt Bae.

Terbaharu, seorang pelukis dari Brooklyn, Amerika Syarikat telah memfailkan saman tuntutan sebanyak $5 juta (RM20 juta) terhadap Nusret Gokce atas kesalahan melanggar undang-undang hak cipta selepas personaliti media sosial didapati telah menggunakan hasil karya seninya tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu, lapor New York Post.

Difahamkan, pelukis yang dikenali sebagai William Hicks berkata, dia bersama rakan pelukisnya, Josphe Lurato telah diupah oleh Gokce untuk menghasilkan satu lukisan mural yang memaparkan imej ‘signature Salt Bae menabur garam’ di restorannya pada September 2017 yang lalu.

Berdasarkan laporan, karya seni pertama yang dihasilkan oleh William bersama Joshpe tersebut telah dipamerkan di restoran stik Gokce di Miami dan karya lain iaitu mural stensil dengan imej sama (tanpa pengetahuan mereka) turut menjadi hiasan di cawangan restoran Gokce di Doha, Dubai dan New York seperti yang dilaporkan Mahkamah Manhattan pada Isnin yang lalu.

Cuma pada awal tahun 2020 lalu, William mula menyedari Gokce dan syarikatnya telah menggunakan imej lukisan muralnya bukan hanya di paparan papan tanda digital tetapi juga pada hiasan menu restoran, corak pada pek pembungkusan tisu basah dan dikomersialkan sebagai ilustrasi pada bekas makanan dan label botol perasa bagi jenama Gokce.

salt-bae-art-82

BOTOL PERASA SALT BAE. SUMBER: NY POST

salt-bae-art-77

BEKAS MAKANAN SALT BAE. SUMBER: NY POST

salt-bae-art-73

IMEJ SALT BAE YANG DIPAPARKAN PADA PAPAN TANDA DI RESTORANNYA. SUMBER: NY POST

salt-bae-art-75

IMEJ SALT BAE PADA PEK PEMBUNKUSAN TISU BASAH. SUMBER: NY POST

Perkara berkenaan sangat mengecewakan William apabila Gokce langsung tidak pernah meminta izin daripadanya untuk menggunakan imej berkenaan sebagai paparan ilustrasi pada kesemua item tersebut.

Tambah kecewa, imej berkenaan juga telah digunakan secara meluas di seluruh cawangan restoran Gokce di seluruh dunia termasuk di Abu Dhabi, Ankara, Etiler, Mykonos dan Bodrum Yalikayak Marina seperti yang difailkan oleh mahkamah.

Difahamkan, sebelum kes ini dibicarakan, William telah mengirimkan surat amaran kepada Gokce pada April 2020 yang lalu. Surat itu menggesa pihak Gokce supaya menghentikan penggunaan imej ini namun pengurusan Gokce tetap berdegil dan sengaja memperluaskan penggunaaanya di D Maris Bay (Turki), Boston, Dallas dan beberapa lokasi di Instanbul.