Antara 5 Insiden 'Ngeri' Cubaan Pecah Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian
# Trending Semasa

Antara 5 Insiden 'Ngeri' Cubaan Pecah Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Apr 21, 2018
pada 5:10 AM

Memang betullah orang kata, malang tak berbau. Dan bukan senang nak capai kejayaan sebenarnya. Siapa sangka, niat dan semangat yang tinggi untuk memecah rekod dunia demi kepuasan diri akhirnya berakhir dengan tragedi yang sungguh tak disangka-sangka. 

Mungkin korang rasa semua individu yang cuba nak pecahkan rekod dunia ni semuanya berjaya, kan? Semua rekod yang cuba dibuat memang betul-betul tak masuk akal dan ada yang tak boleh dibuat dengan kudrat manusia biasa. 

Sebenarnya, ada individu yang tak berjaya dan aksinya berakhir dengan kematian ketika cuba melakukan aksi untuk pecahkan rekod dunia. 

 

#1 Aksi flying-fox terpanjang menggunakan rambut, Sailendra Nath Roy

Pelakon lagak ngeri dari India, Sailendra Nath Roy merupakan pemegang 2 rekod dunia Guinness yang berkaitan dengan rambut. Pada 2011, menerusi aksi flying-fox, dia berjalan sejauh 82.5 meter di atas wayar yang diikat dengan rambut ekor kudanya.

Pada Ogos 2013, rambut Roy tersangkut pada wayar ketika separuh perjalanan. Dia berjaya dibawa turun oleh penduduk tempatan 45 minit kemudian. Tetapi, dia disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

 

#2 Terjunan bebas, Nick Piantanida

Semasa perang dingin, Nick Piantanida dari Amerika Syarikat mahu mengatasi rekod dunia oleh angkasawan dari Rusia, untuk terjunan bebas berketinggian 24,500 meter dari permukaan laut. Pada Mei 1966, Piantanida terbang sehingga ketinggian 36,000 meter dan memulakan lompatan dari pesawatnya.

Malang tidak berbau, selepas 17,000 meter, suit khasnya mengalami gangguan tekanan udara. Menyedari bahaya yang sedang menanti, bilik kawalan Amerika melepaskan payung terjunnya lebih awal.

Sebaik sampai ke tanah, kekurangan oksigen menyebabkan Piantanida mengalami kerosakan otak kekal dan koma. Dia meninggal dunia empat bulan kemudian.

 

#3 Rekod kelajuan di air, Donald Campbell

Pada 1964, warga Inggeris, Donald Campbell satu-satunya individu yang memegang rekod kelajuan di darat dan air. Pada 1967, dia cuba untuk mengatasi rekod kelajuan di air miliknya sendiri. Ketika bot berkuasa jet itu hampir memecah rekod 480 km/j, perkara yang tidak diingini tiba-tiba berlaku.

Bot itu terangkat seketika ke udara, kemudian membanting Campbell ke dalam air dengan daya yang kuat. Dia serta-merta disahkan tidak bernyawa. Lebih menyayat hati, mayatnya hanya dijumpai 34 tahun kemudian.

Orang ramai merasakan nahas itu dapat dielakkan. Ia dikatakan berpunca dari bot itu yang terlalu ringan, akibat kekurangan bahan api.

 

#4 Ditanam hidup-hidup, Janaka Basnayake

Tiada rekod rasmi bagi tempoh paling lama manusia ditanam hidup-hidup. Maka, Janaka Basnayake, seorang ahli silap mata berusia 24 tahun dari Sri Lanka, buat julung kalinya mahu menetapkan rekod itu.

Pada 2012, dia menyuruh beberapa rakan untuk menanamnya dalam sebuah lubang sedalam 3 meter. Selepas 7 jam setengah, Basnayake digali semula.

Apa yang mengejutkan, dia didapati tidak lagi bernafas akibat lemas. Basnayake diberikan bantuan CPR, sebelum dibawa ke hospital. Beberapa jam kemudian, dia disahkan meninggal dunia.

 

#5 Penyelam laut dalam,  Nicholas Mevoli

Rekod dunia penyelaman paling dalam tanpa fin atau tabung oksigen ialah 124 meter. Mengejutkan bukan? Pada 2013, Nicholas Mevoli, berusia 32 tahun berhasrat untuk menewaskan rekod itu, sekaligus menjadi rakyat Amerika pertama yang melepasi kedalaman 100 meter.

Penonton menunggu dengan penuh bimbang sebaik Mevoli berada di dalam air selama 3 minit dan 38 saat. Ketika itu, dia baru sahaja mencapai kedalaman 74 meter. Sebaik muncul kembali ke permukaan, Mevoli kelihatan seperti biasa. Namun, dia pengsan tidak lama selepas diberikan CPR selama 90 minit. Malangnya, Mevoli disahkan menemui ajal.

 

Sumber Oleh: Harian Metro MY