Bukan 'Dukun' Je, Ada 4 Lagi Filem Tempatan Pernah Timbulkan 'Kontroversi' Di Malaysia
# Trending Semasa

Bukan 'Dukun' Je, Ada 4 Lagi Filem Tempatan Pernah Timbulkan 'Kontroversi' Di Malaysia

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Apr 15, 2018
pada 1:40 AM

Demam filem 'Dukun' masih lagi terasa. Sejak ia mula ditayangkan pada 5 April yang lalu, filem yang penuh kontroversi ini telah mencatat kutipan sebanyak RM6.2 juta dalam masa 4 hari saja. Sejak ia mula ditayangkan pada 5 April yang lalu, filem yang penuh kontroversi ini telah mencatat kutipan sebanyak RM6.2 juta dalam masa 4 hari saja.

Sebelum ini, filem Dukun telah diharamkan selama 12 tahun kerana ia dikatakan digarap daripada kisah benar dan dianggap sensitif sehingga mendapat tentangan daripada keluarga tertuduh. 

Korang tahu tak, selain filem Dukun, ada 4 lagi filem yang pernah menimbulkan kontroversi suatu ketika dulu. Apa yang buatkan filem-filem ini terlalu kontroversi? Apakah kisah di sebalik filem-filem ini? Jom rungkaikan...

 

#1 Banglasia, Kritik Pekerja Bangladesh

Filem arahan pengarah kontroversi Namewee ini seolah sengaja menarik perhatian negatif dan tidak baik di negara kita, Malaysia. Mungkin itu sebabnya ia menarik perhatian sehingga diharamkan oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN). Filem yang sepatutnya ditayangkan pada 30 Januari 2014 menghadapi halangan kerana membabitkan elemen politik dan menyentuh sensitiviti Malaysia.

Filem ini juga dibikin tepat pada masa ketika rakyat Malaysia sedang mengkritik hebat kebanjiran kemasukan pekerja asing khususnya rakyat Bangladesh. Nama “Banglasia” juga diberikan selepas melihat keadaan ibu kota pada hujung minggu dan hari cuti umum yang dipenuhi rakyat asing (Bangladesh).



 

#2 Ola Bola, Penerbit Ubah Fakta

Eh, filem Ola Bola pun termasuk dalam katergori filem kontroversi? Filem bertemakan sukan arahan Chiu Keng Guan ini berkisarkan tentang kesusahan, kepayahan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap pemain bola sepak kebangsaan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang dalam menjadi sebuah pasukan bola sepak digeruni di rantau Asia. 

Ia diangkat dari kisah zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia apabila mereka berjaya layak menyertai Sukan Olimpik Moscow 1980. Filem ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton sehingga berjaya mendapat kutipan pecah panggung dengan lebih RM16 juta. 

Namun kecemerlangan filem ini sedikit terjejas dengan beberapa kontroversi yang ditimbulkan oleh segelintir bekas pemain bola sepak veteran yang mendakwa pihak penerbit mengubah fakta sebenar filem itu sehingga menimbulkan kekeliruan. Malah, mereka juga mengambil keputusan untuk menyaman pengarah dan penerbit. Namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan lanjut, dan penulis merasakan ia sudah selesai dan tidak perlu lagi diungkit. 
 

#3 Absent Without Leave, Ada Bibit Komunisme

Filem arahan Lau Kek Huat dari Setiawan, Perak ini diharamkan kerana terdapat bibit komunisme di dalam kandungannya. Filem ini menceritakan pengalaman Datuk Kek Huat ketika zaman peperangan. Ia pernah ditayangkan di beberapa festival filem di seluruh dunia termasuklah Korea Selatan, Taiwan dan Singapura. Walaupun tayangannya diharamkan, syarikat produksi pernah menayangkan filem ini untuk tontonan umum secara percuma dari 28 Februari hingga 5 Mac 2017 di laman sosial Facebook.
 

#4 Tanda Putera, Gambaran Kaum Cina Dan Parti DAP Dalam Bentuk Negatif

Filem ini dikatakan sangat kontroversi kerana ia menyentuh soal sejarah politik, di mana kaum Cina dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) digambarkan dalam konteks negatif. Ia menjadi lebih hangat apabila laman rasmi Facebook filem itu memaparkan satu gambar ahli parlimen, Lim Kit Siang sedang dibawa oleh sekumpulan pegawai beruniform dengan kapsyen yang mendakwa beliau telah membuang air kecil pada bendera Selangor yang terletak di rumah bekas Menteri Besar Selangor, Harun bin Idris. Lim Kit Siang bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, manakala Suhaimi Baba turut menafikan bahawa Lim Kit Siang dipaparkan dalam filem itu. 

Akibat kontroversi yang melanda, filem ini terpaksa ditunda seketika sebelum boleh ditayangkan. Selepas membuat suntingan, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) akhirnya membenarkan filem tersebut ditayangkan kepada umum.