Ekoran Kisah Cikgu Azizan, Ini Had Hukuman Guru Pada Murid Mengikut Undang-Undang Anda Perlu Tahu
# Pengetahuan Pekerja # Trending Semasa

Ekoran Kisah Cikgu Azizan, Ini Had Hukuman Guru Pada Murid Mengikut Undang-Undang Anda Perlu Tahu

post by Izuan

by Izuan

Dec 17, 2017
pada 5:33 AM

Tular di media sosial mengenai kisah Cikgu Azizan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana menghukum pelajarnya sehingga mendatangkan kedeceraan akibat kesalahan disiplin. Setelah membaca kronologi mengenai kisah ini Pelbagai reaksi daripada netizen, dan liputan pihak media mengenai kisah guru tersebut. 

(Sumber foto : Berita Harian )

Niat yang ingin menjalankan tugas sebagai seorang pendidik yang tegas tersekat apabila tindakannya itu melampaui batas   Hanya sokongan moral sahaja yang mampu diberikan kerana secara tuntasnya tindakan Cikgu Azizan ini telah dianggap melanggar undang-undang.

Oleh itu, dibawah ini merupakan penjelasan yang lebih terperinci mengenai kuasa guru untuk memberikan hukuman kepada pelajar, jenis-jenis kesalahan dan hukuman yang patut diberikan mengikut kategori kesalahan tersebut.

KUASA GURU YANG DIPERUNTUKKAN OLEH UNDANG-UNDANG

Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan bahawa guru besar atau Pengetua adalah orang yang bertanggungjawab penuh dalam melaksanakan hukuman terhadap murid. Walau bagaimanapun, kuasa menghukum murid dengan tujuan untuk memberi pengajaran boleh diturunkan kepada guru-guru lain yang berdaftar dan guru yang dipertanggungjawabkan mestilah mengetahui tatacara yang telah ditetapkan dan surat penurunan kuasa juga hendaklah dikeluarkan kepada guru tersebut.

Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 juga memperuntukkan prosedur yang perlu dipatuhi bagi menjalankan hukuman rotan. Intipati peraturan tersebut adalah seperti berikut:

a) Murid perempuan adalah dikecualikan daripada hukuman rotan

b) Hukuman rotan ke atas murid-murid lelaki hendaklah menggunakan rotan yang ringan dikenakan sama ada di tapak tangan atau punggung yang berlapik dengan pakaian

c) Hanya guru besar atau guru yang diberikan kuasa sahaja yang boleh melakukannya.

d) Semua hukuman yang dijalankan hendaklah direkodkan dengan menyatakan jenis salah laku, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan perotan dan saksi semasa hukuman rotan dilaksanakan. Kemudian, rekod tersebut akan disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh pendaftar.

e) Guru yang dipertanggungjawab melaksanakan hukuman rotan bukanlah melakukan berdasarkan perasaan dendam atau marah kepada murid tetapi ia adalah sebahagian daripada proses mendidik. Tindakan yang dikenakan terhadap murid seharusnya difahami oleh semua pihak iaitu sebagai alat untuk mendisiplinkan murid bukannya sebagai alat untuk mencederakan fizikal dan mental murid.

f) Hukuman rotan di khalayak ramai sama ada di tapak perhimpunan atau di tempat berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran adalah tidak dibenarkan sama sekali. Tindakan ini boleh menjatuhkan maruah dan memberi impak negatif yang lebih besar terhadap keperibadian murid.

Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan dua surat Pekeliling Ikhtisas bagi memperingatkan guru daripada berkenaan hukuman ke atas salah laku murid yang tidak dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin) Sekolah 1959. Surat pekeliling tersebut adalah:

a) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1983 yang bertajuk Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah laku yang Tidak Dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran bertarikh 7 November 1983 (Bahagian Sekolah KPM, 1983). Dalam surat pekeliling tersebut, dijelaskan bahawa guru besar diberikan kuasa bagi menjalankan hukuman ke atas murid yang melakukan kesalahan yang tidak dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin) Sekolah 1959 seperti membuat bising dalam darjah, tidak memberi perhatian sewaktu guru mengajar, berkeliaran, dan berbagai lagi perbuatan yang tidak diingini. Hal ini adalah bagi mengawal disiplin atau ketenteraman sekolah.

Berikutan hukuman yang diambil oleh guru terhadap kesalahan-kesalahan tersebut sering kali diadukan kepada pihak Kementerian, maka guru diperingatkan agar menjauhi daripada mengambil tindakan menghukum seperti mengetuk atau menyekel kepala murid, menampar, mencubit hingga lebam, memulas telinga, mengenjut beberapa kali yang tidak berpatutan sambil memegang telinga, mencela, mendera seperti berlari keliling padang, menjemur atau menghukum murid secara kumpulan, dan seumpamanya. Kementerian Pendidikan Malaysia mengingatkan bahawa tindakan menghukum seperti ini adalah tidak sesuai dilakukan kerana ia boleh membawa implikasi yang tidak diingini. Diingatkan juga bahawa hukuman yang hendak dikenakan kepada murid mestilah dilakukan secara adil, setimpal pula dengan kesalahan tersebut serta bersifat mendidik.

b) Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1995 yang bertajuk Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman terhadap Pelajar-pelajar Sekolah yang bertarikh 5 September 1995 (Bahagian Sekolah KPM, 1995). Surat pekeliling tersebut juga memberi peringatan mengenai tindakan dan hukuman yang keterlaluan dikenakan oleh pihak sekolah sama ada pengetua, guru besar atau guru ke atas murid, misalnya jemur di tengah panas, ketuk ketampi yang menyebabkan pengsan, mencubit hingga berdarah, merotan hingga mencederakan, berlari dengan memakai seluar dalam dan menyuruh murid berbuat sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia mengingatkan agar pihak sekolah mengelak dan hindarkan diri daripada nafsu marah dan membuat kesimpulan terburu-buru tanpa menyiasat terlebih dahulu. Hukuman yang pada hemat orang ramai tidak sesuai seperti berbentuk penyeksaan, cacian di depan khalayak ramai yang memberi kesan emosi atau lain-lain hukuman liar serta tidak berperikemanusiaan hendaklah dielakkan.

Klasifikasi kesalahan tersebut hanya dikeluarkan pada 29 Oktober 2003 melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 mengenai Kuasa Guru Merotan Murid.

Sebelum tahun 2003, tiada ketetapan khusus mengenai kategori kesalahan disiplin secara detil. Cuma, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1975 ada menyenaraikan 17 perkara yang dinamakan sebagai Perkara-perkara Tatatertib yang Dianggap Berat dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975: Disiplin di Sekolah Peraturan-peraturan Sekolah untuk Murid-murid bertarikh 4 November 1975. Dalam pekeliling tersebut, tidak disenaraikan bentuk-bentuk kesalahan dalam kategori sederhana dan ringan. Oleh kerana itu, pihak sekolah diberikan kuasa untuk menentukan sendiri bentuk-bentuk kesalahan dalam kategori-kategori tersebut.

Dengan demikian, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 mengenai Kuasa Guru Merotan Murid telah mengemaskini senarai dan kategori kesalahan disiplin murid di sekolah mengikut kategori berat, sederhana, dan ringan

Kesalahan berat adalah seperti berikut:

a) Melakukan mana-mana kesalahan sederhana kali ketiga.

b) Menyimpan, membawa, mengedar, menghisap atau terbabit dalam kegiatan dadah.

c) Membawa, menyimpan, menghisap atau mengedar bahan tembakau.

d) Membawa, meminum, menyimpan atau mengedar minuman keras atau sebarang benda yang memabukkan atau mengkhayalkan.

e) Menyebabkan atau melakukan pergaduhan atau kekerasan.

f) Melawan, mengancam, memukul, mengugut atau mencederakan guru/ pengawas murid.

g) Biadab terhadap guru, pengawas atau murid.

h) Memeras ugut guru, pengawas atau murid.

i) Membawa atau menggunakan senjata atau alat berbahaya.

j) Melakukan buli, penderaan atau paksaan terhadap murid lain.

k) Mencuri, merompak, memecah masuk dan menceroboh kawasan larangan.

l) Melakukan perjudian atau membabitkan diri dalam pertaruhan.

m) Mencetak, menerbit, mempamer, mengedar atau menyimpan rencana, majalah atau rakaman dan multimedia terlarang.

n) Membabitkan diri dalam kumpulan haram.

o) Mencabul kehormatan guru atau murid.

p) Melakukan zina, liwat, hubungan luar tabii.

q) Melacur atau menjadi bohsia, bohjan atau pondan.

r) Bersekududukan atau membabitkan diri dalam kegiatan tidak bermoral.

s) Mengintai murid lelaki atau perempuan.

t) Menulis atau mengeluarkan kenyataan akhbar yang mencemarkan.

u) Merosakkan harta benda sekolah atau guru.

v) Membawa atau menggunakan bahan letupan.

w) Menulis atau melukis perkataan atau gambar lucah atau melakukan perbuatan lucah.

x) Membabitkan diri dalam tunjuk perasaan, perhimpunan haram atau merusuh.

y) Menyalahgunakan alat permainan elektronik atau bahan-bahan multimedia.

z) Membawa atau menggunakan alat yang menyebabkan kecederaan atau mengganggu pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan atau ujian.

aa) Menganjur atau membabitkan diri dalam acara kebudayaan yang bertentangan dengan masyarakat Malaysia.

bb) Menganjur atau membabitkan diri dalam acara kebudayaan tanpa kebenaran pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

cc) Melakukan ponteng sekolah berterusan (berturut-turut) selama 30 hari atau berkala (tidak berturut-turut) selama 60 hari selama satu tahun sesi persekolahan.

dd) Mengganggu, menjejaskan kuasa guru besar, pengetua atau guru yang menjalankan tugas.

ee) Membawa masuk tetamu dari luar ke kawasan sekolah tanpa kebenaran.

ff) Mengedar, memiliki, membawa, melukis dan mempamerkan bahan lucah.

gg) Mengeluarkan kata-kata lucah dan kesat.

hh) Melakukan hubungan yang dicurigai.

ii) Kesalahan-kesalahan lain yang difikirkan termasuk dalam kategori ini.

Kesalahan yang dikategorikan sebagai kesalahan sederhana adalah seperti berikut:

i. Melakukan mana-mana kesalahan ringan melebihi 3 kali.

ii. Menyalahgunakan peralatan, sumber bekalan elektrik sekolah tanpa kebenaran.

iii. Keluar dari kawasan sekolah tanpa kebenaran.

iv. Tidak amanah, menipu, berbohong dan meniru ketika ujian peperiksaan.

v. Ponteng sebarang acara rasmi sekolah.

vi. Tidak menghormati lagu-lagu, bendera, jata sekolah, negeri, dan kebangsaan.

vii. Fesyen rambut keterlaluan seperti punk, skin head atau berwarna.

viii. Menconteng pada harta benda sekolah.

ix. Memakai barang kemas keterlaluan, seperti menindik telinga dan memakai subang berlebihan pada satu cuping telinga.

Kesalahan ringan pula adalah seperti berikut:

a) Menyimpan misai, janggut atau jambang.

b) Berambut panjang atau menyerupai kumpulan tertentu.

c) Bermain dalam bilik darjah, koridor atau kawasan yang dilarang.

d) Menggunakan dan membawa keluar sebarang peralatan bilik darjah dan sekolah tanpa kebenaran.

e) Keluar dari bilik darjah tanpa kebenaran. f) Berada di kantin pada waktu persekolahan (kecuali waktu rehat) tanpa kebenaran.

g) Menyimpan atau menggunakan alat permainan kepunyaan sekolah tanpa kebenaran.

h) Menggunakan alat hiburan atau elektronik sekolah tanpa kebenaran.

i) Memasuki atau tidak mematuhi arahan makmal, bengkel atau bilik khas.

j) Memakai barang kemas atau perhiasan atau alat solek kecuali jam.

k) Memasuki bilik khas tanpa kebenaran.

l) Makan dan minum di bilik darjah.

m) Melakukan pembaziran air atau elektrik.

n) Tidak memakai pakaian sekolah yang lengkap.

o) Semua kesalahan bersabit dengan pembelajaran (tidak membawa buku, tidak membuat kerja rumah, tidak memberi perhatian dan lain-lain).

p) Datang lewat ke sekolah.

q) Lewat bergerak ke perhimpunan, bengkel atau makmal.

r) Bising dalam bilik darjah sehingga mengganggu kelas lain.

s) Menunggang atau memandu kenderaan dalam kawasan sekolah.

t) Berjalan-jalan tanpa kebenaran.

u) Tidak membuat gerak kerja yang ditugaskan.

v) Mengganggu kawasan.

w) Mengganggu guru.

x) Lewat masuk kelas.

y) Mengotorkan kelas.

z) Tidak duduk setempat.

aa) Kesalahan lain yang difikirkan termasuk dalam kategori ini.

Hukuman Mengikut Jenis Kesalahan

Sumber: Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003

Dengan adanya penentuan dan had hukuman disiplin yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 tersebut, maka pihak berkuasa sekolah tidak boleh menjatuhkan hukuman yang melebihi daripada apa yang diperuntukkan di atas.