Tarikh Akhir Hantar Cukai E-Filing Dilajutkan
# Trending Semasa

Tarikh Akhir Hantar Cukai E-Filing Dilajutkan

post by Izuan

by Izuan

Apr 23, 2018
pada 10:37 AM

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melanjutkan tempoh sehingga 15 Mei untuk pembayar cukai individu yang tidak mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan bagi mengemukakan borang BE atau M (tahun taksiran 2017) mereka secara e-Filing.

Pembayar cukai yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan pula diberikan tambahan masa sehingga 15 Julai untuk mengemukakan Borang B atau M (tahun taksiran 2017) secara e-Filing.

Tidak Terpakai Untuk Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP)

Bagaimanapun, menurut kenyataan LHDN, lanjutan tempoh itu tidak terpakai untuk kemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara manual menggunakan borang biasa dengan tarikh akhir kekal pada 30 April bagi individu tidak mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan atau 30 Jun bagi individu mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan.

Sehingga semalam, LHDN sudah menerima sebanyak 1.7499 juta BNCP daripada pembayar cukai individu melalui kaedah e-Filing setakat jam 9 pagi.

Katanya, angka berkenaan menunjukkan peningkatan sekitar 5.52 peratus berbanding penerimaan BNCP melalui kaedah e-Filing daripada pembayar cukai individu bagi tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 1.6583 juta.

"Justeru, LHDN menyeru pembayar cukai supaya menggunakan kemudahan disediakan ini dan memastikan BNCP dikemukakan dalam tempoh yang sudah ditetapkan bagi mengelak penalti lewat hantar borang cukai dikenakan," katanya.

Selain itu, LHDN akan membuka kaunter perkhidmatan e-Filing di semua cawangannya pada 27 hingga 29 April bagi membantu pembayar cukai individu yang tidak mempunyai kemudahan Internet untuk mengisytiharkan pendapatan dan menghantar BNCP menggunakan e-Filing.

"Bagi memudahkan urusan pembayaran cukai, kaunter bayaran cukai LHDN di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak juga akan dibuka pada 27 hingga 29 April bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Semenanjung manakala jam 8 pagi hingga 4 petang di Sabah dan Sarawak," katanya.

Sumber : Berita Harian